Oh, Zaharah!

-Dipetik daripada majalah APO? Isu 285, keluaran 15 Nov 2010 –


Kelibat seorang wanita berbaju kurung kuning yang mundar-mundir di dalam sebuah kedai runcit kecil menarik perhatian seorang lelaki iaitu tuan punya kedai runcit kedai itu. Sesekali mata tuan kedai itu melirik tubuh wanita itu dari hujung rambut ke hujung kaki. Ada senyum nakal yang terbit dari bibirnya.


Lelaki itu menopangkan dagu sambil bebola matanya tertancap tanpa sedikitpun berkalih. Lenggang wanita itu yang berjalan dari rak sayuran hingga ke peti sejuk besar tersimpan air minuman pelbagai jenama membuatkan dirinya tidak senang duduk. Tatkala wajah wanita itu disimbahi cahaya pagi dari luar kedai, keayuan wajahnya jelas terserlah.


Wanita itu mundar-mandir lagi. Berbekalkan bakul kecil yang dimuatkan dengan barangan dapur, kain baju kurungnya terlenggok dikibar hayunan langkah. Lelaki itu memerhatikan pula rambut wanita itu. Halus dan beralun lembut. Panjangnya melebihi bahu. Indah benar rupanya bila dikibarkan ke kiri dan ke kanan.


“Banyak beli barang hari ni, Zaharah?” Tanya lelaki itu seperti sengaja memulakan langkah untuk berbicara.


“Tak adalah, bang. Beli untul buat masak tengah hari je,” balas wanita yang bernama Zaharah itu dengan senyuman melirik.


“Berapa semua ni bang?”


“Semua sekali baru dua puluh ringgit. Tapi kalau Zaharah bayar kemudian pun tak apa. Abang tak kisah pasal Zaharah hari ni wangi sangat!” ujar lelaki itu seraya mengenyitkan sebelah matanya pada Zaharah.


Zaharah senyum lagi. Membuatkan jiwa lelaki itu luntur. Tanpa berkata apa-apa, Zaharah meninggalkan kedai itu tanpa membayar harga barangan yang telah diambil olehnya tadi. Lenggangnya diperhatikan dengan ketat oleh tuan punya kedai itu yang mula mengetap bibir. Geram sungguh dia pada Zaharah.


“Amboi, orang tua merenyam ni! Tengok perempuan macam nak makan! Saya yang berdiri dekat belakang ni langsung tak perasan ya?” tegur isteri lelaki itu dari belakang secara tiba-tiba.


“Saya tengok je, bukannya peluk. Itupun salah? Lagipun awak tu pakai cantik-cantik masa nak pergi kenduri je. Bila depan saya, awak menyamar jadi gorilla gunung. Bila saya pandang perempuan lain, tahu pula awak marah!” balas lelaki itu sambil berusaha untuk mengerling pada tubuh Zaharah yang kian jauh meninggalkan kedai itu.


Langkah Zaharah seterusnya menuju ke jalan besar. Kali ini kelibatnya menggoyangkan pinggul ke kiri dan ke kanan diperhatikan pula oleh para isteri yang sedang sibuk berbual mengenai masalah rumahtangga jiran-jiran setempat di bawah pokok mempelam berhampiran dengan jalan besar itu.


Zaharah sedikit risau. Sejak dari dulu lagi kehadirannya tidak disenangi oleh wanita-wanita bersuami di dalam kampung itu. Entah apa silapnya, mereka semua membenci diri Zaharah. Berlainan pula dengan suami mereka yang menyenangi dirinya. Malah boleh dikatakan terlalu senang sekali merapati dirinya.


“Orang kalau dah tak sedar diri, macam tu lah! Konon cantiklah tu! Menyampah pulak aku tengok!”


“Kau menyampah? Aku ni rasa macam nak humban dia dalam tong sampah adalah! Tak tahu malu. Mak bapaknya tak pernah mengajar dia agaknya.”


Zaharah panas telinga. Kalau diikutkan perasaan, mahu saja dia memaki hamun mereka-mereka yang bermulut celupar itu. Tetapi Zaharah sedar, seorang perempuan sepertinya akan sentiasa menjadi buah mulut orang. Zaharah cuma mengandaikan bahawa mereka semua cemburu bila suami-suami mereka beralih perhatian pada dirinya.


Zaharah meneruskan langkahnya. Dia tidak mempedulikan wanita-wanita itu biarpun suara-suara sumbang kedengaran terus-menerus mengutuk dirinya dari belakang. Hatinya sedikit tercalar. Tanpa sedar, ada airmata yang mula turun ke pipi.


Zaharah cepat-cepat mengelapnya dengan hujung lengan baju kurung yang sedang dipakai olehnya. Perasaannya yang sedikit berkecamuk membuatkan dia tidak menyedari bahawa dirinya sedang diperhatikan. Sekumpulan anak-anak muda kampung bermotosikal mula berbisik-bisik sesama mereka sebelum bingkas bangun menghidupkan enjin motosikal.


Deruman enjin motosikal yang dinaiki oleh anak-anak muda kampung itu tadi kian menghampiri Zaharah dari arah belakang. Sebaik sahaja tiba di sebelah Zaharah, dua tiga orang daripadanya mula mengurat dengan bersiul-siul nakal. Zaharah agak rimas namun dia tetap melangkah tanpa mempedulikan mereka dengan harapan agar mereka semua segera pergi jauh dari situ.


“Hai Zaharah! Lawa baju? Nak ke mana ni? Marilah abang tumpangkan!” tegur salah seorang daripada mereka pada Zaharah.


“Tak apalah! Zaharah boleh jalan sendiri. Terima kasih jelah abang-abang semua,” balas Zaharah sambil tersenyum tawar.


Sebuah motosikal yang ditunggangi oleh salah seorang daripada kumpulan itu berhenti betul-betul di hadapan Zaharah. Dua daripadanya berhenti di kiri dan kanan manakala sebuah lagi di belakang. Zaharah kini terkepung. Dia mula berasa takut. Risau diapa-apakan.


“Janganlah macam tu, sayang! Mari sini dekat kami. Dah pakai cantik-cantik macam ni, kenalah hiburkan kami. Tak begitu, kawan-kawan?” ujar seorang lelaki seraya disambut dengan gelak tawa oleh yang lain.


Zaharah mula bimbang bila lelaki di sebelahnya menarik tangannya. Puas Zaharah cuba meleraikan genggaman tangan lelaki itu namun dia tidak berdaya. Kemuncak adegan itu berlaku apabila lelaki di sebelah belakangnya cuba untuk memeluk dirinya manakala lelaki yang berada di depannya bertindak biadap dengan merangkul pinggangnya. Zaharah menjerit semahu-mahunya. Membuatkan lelaki-lelaki itu cuak lalu segera meninggalkan dirinya yang terduduk di atas jalan.


“Lain kali kalau kami nampak engkau lagi, nahas engkau kami kerjakan!”


“Tak sedar diri punya manusia! Pergi balik cermin muka tu elok-eloklah oi!”


Zaharah yang sedang menangis teresak-esak hanya mendengar kata-kata dari kumpulan lelaki itu yang semakin jauh meninggalkan dirinya. Tanbah pula melihatkan telur-telur ayam di dalam bakul yang baru dibelinya dari kedai runcit habis pecah kesemuanya akibat terlepas pegang ketika diganggu sebentar tadi.


Zaharah bingkas bangun sambil mengibas-ngibaskan baju dan kainnya dengan tangan. Dengan esakan yang masih belum reda, Zaharah berlari dengan sebelah tangannya menjinjit bakul dan sebelah lagi menekup mulut. Semakin hampir dia untuk tiba ke rumah, semakin tangisannya kian lebat.


“Hah, kenapa dengan engkau ni? Menangis-nangis macam ni rupa! Nak kata putus tunang, tak ada pulak orang yang pernah datang meminang!” soal Lawiyah tatkala melihat Zaharah masuk ke dalam rumah dan menyembamkan tubuhnya ke atas kerusi panjang.


“Diorang semua kacau Zaharah, mak! Diorang tak senang bila tengok Zaharah senang. Bila Zaharah tak layan, diorang kutuk-kutuk Zaharah! Diorang kata Zaharah tak sedar dirilah, suruh cermin mukalah. Zaharah bukannya kacau diorang! Kenapa diorang buat Zaharah macam ni?” luah Zaharah diiringi esakan yang sedikit membantutkan percakapannya.


“Sebab engkau tu memang tak sedar diri! Kau ingat elok sangat ke pakai baju kurung siap bersolek macam ni? Ikutkan hati, aku ikat kau dekat padang tembak! Lepas tu aku sendiri yang tembak kau, tahu tak! Sedarlah sikit diri kau tu, Zahari!” celah suami Lawiyah yang juga merupakan ayah kandung Zaharah dari dalam bilik.


Lawiyah tak terkata apa-apa. Dia hanya mampu memerhatikan anak lelaki tunggalnya itu membetulkan kain baju kurung yang sedikit terselak sambil memeluk patung beruang kesayangannya.

Comments